Anna Jobling Bersuara, Suka Hati Tapi Jangan Kacau Saya

Ini merupakan kali pertama Pancaindera berpeluang mewawancara pelakon manis berwajah kacukan Melayu-Inggeris, Anna Jobling sejak dia melebarkan sayap dalam bidang seni sekitar empat tahun lalu.

Menjadikan pentas pertandingan Dewi Remaja 2018/2019 sebagai batu loncatan, siapa sangka, Anna kini meledak popular mewarnai kanvas kerjaya seninya setelah begitu lama mencuba nasib untuk dikenali ramai.

Melihat kepada perwatakannya buat pertama kali, mungkin ramai hadir dengan persepsi awal, menebak dirinya sebagai seorang yang sombong dan tak suka berkongsi.

Namun, temu bual tempoh hari nyata meleset. Anna rupa-rupanya adalah seorang pelakon dan selebriti yang sangat mudah menyesuaikan diri selain bijak menyusun setiap butir bicara. Tidak kosong. Dia berinti.

Lalu sengaja dilayangkan pertanyaan berbeza, tentang pandangannya mengenai sisi hitam yang semua orang tahu, industri seni ini tidak cuma menyajikan pandangan indah dek gemerlap cahaya glamor.

Maklum sajalah, sebelum ini, pernah saja ada laporan berita mengenai artis dan selebriti yang sanggup menerima tawaran ‘di luar bidang’, melayan lelaki golongan VIP hingga ada yang pernah menerima bayaran tinggi untuk ‘kerja satu malam’.

Sama ada tujuannya untuk cepat kaya, cepat hidup senang lenang, wanita dengan nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman ini ada buah bicaranya.

“Sebenarnya, tak cuma dalam industri ini, di mana-mana tempat pun, pasti ada sisi putih dan hitamnya. Tetapi, kita sendiri yang harus tahu bagaimana nak bawa diri. Saya pernah dengar tentang isu seperti ini sebelum ini”

“Tapi, kalau ada pun orang lain yang sanggup buat begitu, tak kisahlah artis atau tidak, itu bukan urusan saya. Mungkin kita tak tahu apa yang orang itu lalui dan nak kata lebih-lebih pun tentang apa yang dia buat, kita pun tak kenal betul-betul siapa dirinya”

“Kalau kenal pun, mungkin boleh sekadar beri nasihat. Lagi pula, sekarang ini zaman media sosial. Kalau nampak seseorang itu hidup mewah sikit, kita tak boleh nak tuduh sembarangan tentang kerja dia. Mungkin kita yang tak tahu dia pun bekerja keras,” katanya.

Lebih selesa memilih jalan untuk tidak mudah menghukum, Anna, tidak fikir jalan seperti itu yang ingin diambilnya hanya kerana mahu menuruti nafsu cepat kaya atau hidup senang.

“Saya tak nak hukum orang. Kalau awak nak buat, awak buatlah, itu pilihan sendiri. Suka hati, tapi jangan kacau saya. Sebab saya tak campur pun urusan orang seperti itu, bukan hak saya”

“Bagi saya, selagi boleh cari duit sendiri, saya akan cari dan usaha sendiri dengan cara yang saya suka dan selesa. Saya pun sejak dari awal rasa sangat bertuah apabila diberi peluang untuk berada dalam industri ini yang mungkin tak semua orang dapat”

“Saya tengok dan dapat rasakan yang ramai sokong dan beri kepercayaan pada bakat dan kerja saya, jadi saya akan teruskan minat dan apa yang saya sukai ini. Saya nak berkembang dan menyerlah dalam industri ini dengan cara tersendiri, bukan dengan cara orang lain”

“Terus-terang, kalau diberi peluang atau tawaran untuk buat kerja sebegitu untuk cepat kaya pun, saya tidak akan teragak-agak untuk cakap ‘No’! Saya dah cukup gembira dengan apa yang saya lakukan sekarang kenapa nak rosakkan reputasi dengan cara itu?” katanya.

Bukanlah nak berlagak

Dalam pada itu, mengalihkan panda­ngannya mengenai perihal persaingan, Anna mengaku, sudah tentu menyedari bahawa saban hari ada sahaja wajah-wajah baharu yang mewarnai dunia seni hiburan hatta dalam platform nyanyian, lakonan atau cabang lain sekali pun.

Pun begitu, kata pemeran watak utama drama sensasi,Melur Untuk Firdaus ini, dia tidak pernah menganggap semua itu sebagai satu persaingan kerana percaya masing-masing ada bakat tersendiri dan rezeki juga tidak sama.

“Saya ini bukan jenis nak tengok orang lain sebagai satu persaingan. Jangan salah faham, bukan saya berlagak. Tapi saya adalah orang yang melihat diri sendiri sebagai satu persaingan”

“Daripada kecil, saya sentiasa melihat diri sebagai seorang yang kompetitif, bukan dengan orang lain tetapi dengan diri. Kalau saya buat sesuatu, saya memang sentiasa nak buat yang terbaik, nak tengok berapa jauh saya boleh pergi dan paksa diri”

“Tapi ini berbalik juga kepada soal rezeki. Bahagian masing-masinglah. Ada orang rezeki sampai cepat, ada orang lambat. Tapi saya sentiasa percaya pada magisnya doa”

“Percayalah pada doa. Apa yang memang menjadi milik kita, akan datang juga kepada kita. Begitu juga dengan soal kerjaya. Saya mungkin baru sekarang nak rasa nikmat popular itu, tetapi orang tak nampak usaha keras dan jerih perih yang dilalui. Saya gembira dan berbangga dalam masa sama,” katanya.

Orang tetap akan membawang

Usai berbual mengenai hal itu, Pancaindera meng­ajukan pula soalan bagaimana dirinya mengendalikan pelbagai kecaman atau kata-kata hentaman yang lazimnya terpaksa diterima sebagai santapan ruji buat mana-mana anak seni.

Ternyata, pelakon ini juga menganggap ia bagaikan sudah menjadi kebiasaan. Malah, ia juga pernah terjadi pada dirinya saat melewati kedudu­kannya sekarang sebagai seorang pelakon.

“Entahlah. Kalau kita nak baca semua komen negatif, saya fikir, kita tak akan bangkit dan terus bergerak ke hadapan. Bukan tak pernah saya terima kata-kata nista, tapi ia adalah bagaimana kita sendiri pandai mengawal cara berfikir”

“Dengar mungkin agak klise, tetapi, kita harus letakkan minda positif. Kalau ada orang cakap benda yang tak baik pasal diri, kita sendiri harus buktikan kepada mereka yang kita bukan seperti apa yang mereka katakan”

“Orang tetap akan sentiasa bercakap dan akan membawang pasal kita. Sebab itulah saya lebih selesa buat hal sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, kata Anna, kerana itu sejak awal kakinya melangkah dalam bidang ini, dia meletakkan kejujuran dan keikhlasan pada setiap kerja yang dilakukan sebagai anak seni.

“Kata kuncinya di sini, ikhlas. Saya cuma nak buat kerja, pergi set penggambaran, galas tugas sehabis baik dan lakukannya dengan curahan hati dan jiwa sepenuhnya. Saya usaha keras, tapi tak semua orang nampak”

“Jadi, saya cuba untuk tidak fokus pada kata negatif. Satu saja cara nak pujuk hati. Kalau ada ribuan lagi orang yang berikan kata-kata semangat dan aura positif, kenapa kita nak fokus pada mereka yang negatif itu?”

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Sumber : www.utusan/achikdia.com