Saya Teraniaya, Selepas Diberkas, Boy Iman Digari Dan Tak Mengaku Tipu Kes Penganjuran Festival

Susulan penganjuran sebuah festival beli-belah yang dibatal saat akhir, pelakon Boy Iman dan tiga individu lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu.

Menurut laporan Harian Metro, pemilik nama Noruliman A Rahman, 43, itu selain Norazah Sahud, 51, Norzana Rapie, 51, dan Nor Azmi Jantan, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan dan penyewaan tapak perniagaan festival berkenaan sehingga wanita itu menyerahkan wang RM1,500.

Keempat-empatnya didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Peguam, Mohamad Syakir Mohamad Fauzi dan Earnest Azad yang mewakili semua tertuduh memohon ikat jamin RM5,000 dikurangkan sebelum menjadi RM3,000 kerana masing-masing mempunyai tanggungan.

Bagaimanapun, syarat tambahan adalah pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain kes ditetapkan semula pada 13 Jun nanti.

Difahamkan, seorang lagi tertuduh Mohammad Alif Hakim Jamal, 23, dimasukkan ke hospital dan akan didakwa sebaik keluar dari hospital.

Sementara itu, memetik laporan Kosmo! pula, Boy Iman mendakwa dirinya menjadi ‘mangsa keadaan’ sehingga terbabit dalam kes berkenaan.

“Doakan saya ya…teraniaya ni,” katanya.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Like Page Kami Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Kredit: HM/kosmo/achikdia.com